السلام عليكم
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ
Cuba lihat pokok-pokok di luar sana. Ada yang tinggi, ada yang rendah, ada yang besar, ada yang kecil, ada yang hijau dan ada pula yang kuning. Cuba perhatikan padi yang kita tanam. Apa akan jadi kalau hujan tidak turun? Sudah tentu padi akan layu dan kemudiannya mati. Seperti manusia, padi juga perlu minum. Siapakah yang turunkan hujan? Tentulah ALLAH SWT yang turunkan hujan, untuk dijadikan minuman buat padi.
Kalau manusia perlu minum untuk hilangkan dahaga, dan perlukan makanan untuk hilangkan lapar. Adakah tumbuhan juga perlukan makanan? Adakah padi yang kita tanam makan ikan? Tidak. Kita tidak letak ikan pun padi tu masih hidup. Adakah padi itu makan tanah? Mungkin. Tapi ada juga tumbuhan lain yang hidup terapung-apung diatas air. Dimanakah tanah untuk tumbuhan itu makan? Tiada tanah pun tumbuhan dapat hidup. Ertinya tumbuhan tidak makan tanah. Jadi, tumbuhan makan apa?
Cuba kita tanam dua pokok di dalam dua pasu yang sama besar dengan tanah yang sama. Kita siram dua-dua tumbuhan itu sama banyak selama dua minggu. Satu pasu kita letak di luar rumah. Satu pasu kita letak di tempat yang gelap dan tertutup. Supaya tidak kena cahaya matahari. Apa akan jadi pada kedua-dua pokok itu?
Kita akan dapati, pokok di dalam pasu yang berada di luar rumah itu hidup. Pokok yang berada di dalam rumah itu mati. Kenapa? Rupa-rupanya, pokok perlukan cahaya matahari untuk hidup. Rupa-rupanya cahaya matahari itu makanan buat pokok.
Rupa-rupanya, padi yang kita tanam itu hidup kerana dapat minum air hujan dan makan cahaya matahari. Bolehkan kita turunkan hujan? Bolehkah kita terbitkan matahari agar padi dapat makan dan minum? Agar padi itu hidup, menghasilkan beras. Agar beras itu dapat kita masak dan makan nasi. Sudah tentu kita tidak boleh turunkan hujan. Apatah lagi menerbitkan matahari. ALLAH SWT lah yang menurunkan hujan dan menerbitkan matahari.
Rupa-rupanya, nasi yang kita makan itu, yang kita dapat daripada padi yang kita tanam itu, hidup kerana ALLAH SWT menurunkan hujan dan menerbitkan matahari. Oleh itu, sebenarnya yang memberi kita makan hari-hari itu ialah ALLAH SWT. Kerana ALLAH SWT menurunkan hujan dan menerbitkan matahari.
Oleh itu, setiap kali kita lihat hujan turun, setiap hari kita melihat matahari terbit, itu bermakna ALLAH SWT sedang memberi kita makan. Terima kasih ALLAH SWT kerana menerbitkan matahari, hari-hari. Terima Kasih ALLAH SWT kerana menyuapkan kami makan hari-hari. Terima kasih ALLAH SWT kerana menurunkan hujan. Terima Kasih ALLAH SWT kerana memberi kami minum. Terima kasih ALLAH SWT kerana memberi minum kepada makanan kami. Terima Kasih ALLAH SWT kerana menyayangi kami dan menjaga kami.
Ya ALLAH! Sepanjang kami hidup, tidak pernah sehari pun kami bangun pagi, matahari tidak terbit. Hari-hari matahari terbit. Hari-hari ALLAH beri makanan kepada makanan kami. Hari-hari ALLAH berikan makanan kepada kami. Hari-hari ALLAH menjaga kami. Hari-hari ALLAH menjaga keluarga kami. Terima kasih Ya ALLAH! Terima kasih Ya ALLAH!
Ya ALLAH! Tidak cukup dengan makanan dan minuman yang diberikan kepada kami, ENGKAU mengajarkan kami mengenainya. Melalui Al-Quran yang disampaikan melalui Nabi kami Muhammad SAW. Ya ALLAH! ENGKAU mengajar kami untuk mengenalMU melalui firmanMU di dalam Al-Quran.
“Pernahkah kamu perhatikan benih tumbuhan yang kamu tanam? Apakah kamu yang menumbuhkannya atau KAMI yang menumbuhkannya?”
( Al-Waaqi’ah [56] : 64-65 )
Ya ALLAH! Hari ini kami sudah perhatikan padi yang kami tanam. ENGKAUlah yang menumbuhkannya dengan hujan yang turun dan matahari yang terbit. Ya ALLAH! Setiap kali kami melihat hujan turun dan setiap hari kami melihat matahari terbit, kami tahu, ENGKAU sedang menjaga kami. Oleh itu, kami tidak perlu takut lagi. Tidak kira apapun kesusahan yang kami hadapi, kami tahu, hari-hari kami dijaga olehMU. Ya ALLAH! YANG PALING BERKUASA, YANG PALING KUAT, YANG PALING PENYANYANG. TUHAN YANG BERKUASA menurunkan hujan dan menerbitkan matahari.
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَآلِ مُحَمَّدٍ




